Wednesday 30 January 2013


Inovasi & Kreatif: Kolagen kulit ikan tilapia untuk kosmetik, kesihatan
Oleh Syifarida Muhamad Zaki
bhvarsiti@bharian.com.my
2011/12/08


GAMBAR atas, JAMILAH (tiga dari kanan) bersama wakil UPM dan Bionic Lifesciences dipameran BioMalaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Gambar bawah, PENGUNJUNG pameran BioMalaysia melihat kolagen akuatik dihasilkan UPM.
MASYARAKAT kini mula menyedari kepentingan kolagen bagi memelihara keremajaan dan keanjalan kulit serta mendapatkan bentuk badan menarik.

Justeru, tidak hairan pelbagai rangkaian produk kesihatan dan kecantikan yang mengandungi protein itu mendapat sambutan memberangsangkan. Namun, kebanyakan produk berkenaan diimport dan dikhuatiri sumber kolagennya daripada khinzir atau haiwan lain yang diragui status halalnya.
Menyedari isu itu, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan kajian menghasilkan kolagen daripada kulit ikan tilapia.
Kami ialah yang pertama di rantau ini yang menghasilkan kolagen akuatik yang benar-benar diyakini status halalnya. - Prof Dr Jamilah Bakar Pengarah projek kajian itu, Prof Dr Jamilah Bakar, berkata kolagen akuatik berkenaan boleh digunakan dalam bentuk minuman atau makanan, contohnya, produk minuman burung walit.

Penyelidikan 12 tahun itu juga bakal dikomersialkan menerusi kerjasama antara UPM dengan Bionic Lifesciences Sdn Bhd (Bionic Lifesciences) yang antara lain membabitkan pembinaan kilang pengekstrak kolagen halal daripada kulit ikan tilapia yang pertama di rantau ini.

Jamilah berharap hasil penemuan itu memberi perspektif baru kepada pengguna kolagen halal dalam produk kosmetik atau makanan tambahan selain menyokong industri halal negara.

“Masyarakat kini mula menyedari kepentingan kolagen yang berfungsi memelihara kecantikan kulit, mempercepatkan penyembuhan luka serta membantu memulihkan kekenyalan otot dan masalah sendi.
“Pelbagai rangkaian produk berasaskan kolagen dijual di pasaran, namun difahamkan tiada sumber kolagen yang dihasilkan dalam negara dan menyebabkan ia banyak diimport dari China dan Korea Selatan yang diragui status halalnya.

“Kami adalah yang pertama di rantau ini yang menghasilkan kolagen akuatik yang benar-benar diyakini status halalnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan Bionic Lifesciences sempena Pameran BioMalaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MoU itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Ir Dr Mohd Saleh Jaafar manakala Bionic Lifesciences diwakili Pengarahnya, Ir Mohd Salleh Yahya.

Mengulas teknologi pengekstrakan kolagen akuatik itu, Jamilah berkata ia membabitkan empat peringkat iaitu pembersihan kulit ikan, pengekstrakan menghasilkan kolagen, pembersihan kolagen dan penghasilan serbuk kolagen.

Katanya bagi peringkat pertama, kulit ikan dibersihkan untuk menghilangkan kotoran dan lendir menggunakan beberapa bahan kimia tidak berbahaya.

“Ketika proses pengekstrakan, ia juga menggunakan beberapa gabungan bahan kimia bergantung kepada kulit ikan dan kolagen yang ingin dihasilkan. Sesetengah kulit ikan akan menghasilkan kolagen yang bergred tinggi dan yang lainnya menghasilkan kolagen bergred sederhana dan rendah.

“Kos untuk mengekstrak juga berbeza kerana menggunakan bahan kimia yang berbeza bergantung kepada jenis kulit ikan,” katanya.

Beliau berkata proses pembersihan bahan kolagen juga dilakukan dalam beberapa peringkat bagi meningkatkan peratus kandungan kolagen bergantung kepada produk yang ingin dihasilkan sama ada untuk makanan atau farmaseutikal.

“Kolagen untuk produk farmaseutikal agak remeh dan memerlukan tiga hingga empat proses berbanding makanan,” katanya.

Jamilah berkata, peringkat terakhir membabitkan kaedah pengeringan dan pembekuan dan kebanyakan kolagen dihasilkan menggunakan kaedah pengeringan bagi menghasilkan serbuk kolagen sebelum dibungkus dan dikategorikan mengikut produk yang ingin dihasilkan.

Sumber

No comments :